SENI adalah bahasa visual yang sukar difahami tetapi indah untuk direnungi, tulis pemikir Britain, John Ruskin dalam pendahuluan bukunya Modern Painter. Edisi pertamanya diterbitkan sejak 1888. Pandangan serta kesimpulan yang sama turut dinyatakan oleh seorang lagi penyair dan pengkritik seni dari negara itu, Herbert Read dalam bukunya The Meaning of Art dan The Philosophy of Modern Art. Dalam The Philosophy of Modern Art, Read menghuraikan makna yang paling mendasar tentang seni yang disimpulkan daripada sebuah penelitian panjang serta terperinci. Namun, biar apapun kesimpulan yang dibuat oleh Ruskin dan Read, makna seni itu sendiri cukup menarik untuk dilihat dan direnungi dalam konteks perkembangan mutakhir seni tampak di negara ini. Seni bukan sahaja sebagai elemen yang memaparkan estetika dan kehalusan tetapi sebuah medium yang boleh menghubungkan antara masyarakat, bangsa dan negara. Dengan lain perkataan, jika dapat disimpulkan daripada pandangan kedua-dua pemikir tersebut, seni mampu memikul pelbagai fungsi termasuk sebagai medium komunikasi dan persatuan. Pameran Artriangle anjuran Kumpulan Matahati yang berlangsung Sokka Gakai Malaysia, di Kuala Lumpur baru-baru ini merupakan cerminan seni sebagai alat komunikatif yang melangkaui batas politik dan geografi. Artriangle merupakan pameran 66 pelukis oleh pelukis dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina. Mereka berasas daripada pelbagai aliran seni lukis dan peringkat usia. Konsep Artriangle itu sendiri merupakan simbol penyertaan tiga negara yang terpisah oleh geopolitik, geobudaya, geografi dan bahasa tetapi bersatu dalam ikatan seni. Pameran itu juga merupakan sebahagian daripada wadah untuk kebajikan dan kesejahteraan iaitu 50 peratus hasil jualan karya akan didermakan kepada Tabung Seni Matahati. Antara lain, untuk membantu mangsa-mangsa bencana alam, kemalangan, individu yang memerlukan kewangan bagi rawatan kesihatan dan juga bantuan untuk kematian. Bergabung Dari Malaysia tercatat seramai 48 pelukis, 11 dari Indonesia dan tujuh dari Filipina. Mereka bergabung di atas dasar bahawa seni tidak pernah mempunyai sempadan. Antara pelukis Malaysia yang mengambil bahagian ialah Jailani Abu Hassan, Ramlan Abdullah, Ahmad Syukri Mohamed, Ahmad Fuad Osman, Suzlee Ibrahim, Mohd. Suhaimi Tohid, Shia Yih Ying, Kow Leong Kiang dan Bayu Utomo Radjikin. Pelukis-pelukis Indonesia pula antaranya Januri, Agus Purnomo, Dadi Setiadi, Luddy Astagis, Heri Purwanto, Yaksa Agus, Eddy Sulistyo, Tasiman, Suryadi, Saftari dan Slamet Soneo Santoso. Sementara itu, antara pelukis Filipina yang mengambil bahagian ialah Julio Austria , Lawrence Borsoto, Joseph Ermi Lofranco, Chriseo Sipat, Christian Tamondong dan Wilfredo Alicdan. Sebenarnya Artringle juga membawa pengertian yang cukup besar dari aspek perkembangan seni catan di Malaysia. Ia mampu menjadi medium pertukaran idea kreatif. Semua aliran dalam seni catan terhimpun. Antara lain kerana terdapat pelukis dari ketiga-tiga yang merupakan menekuni aliran realisme, abstrak, seni cetakan dan sebagainya. Suzlee Ibrahim misalnya merupakan pelukis abstrak ekspresionisme. Dalam konteks karyanya, beliau berkomunikasi dengan khalayak melalui warna dan sapuan berus pada permukaan kanvas. Dia tidak memikirkan pembaziran warna dengan menggunakan sapuan warna yang berulang di dada kanvas yang sama. Juga, tidak penting bagi beliau berapa lama untuk menyiap sesebuah catan. Apa yang penting untuk pelukis aliran ini ialah luahan emosi pelukis semata-mata. Pendekatan yang sama turut diketengahkan oleh pelukis abstrak lain seperti Mohd. Kamal Sabran (Malaysia) dan Julio Austria (Filipina). Jailani Abu Hassan mungkin bereksperimen dalam karya terbarunya Silat Harimau (2007). Ia cenderung kepada karya ekspresionis iaitu berbeza dengan siri-sirinya sebelum ini. Warna merah sangat dominan hingga menenggelamkan imej pada permukaan kanvas. Karya-karya Jailani, Suzlee, Mohd. Kamal dan Julio hanyalah contoh sebuah komunikasi menerusi warna dan bahasa visual yang tertera pada kanvas kerana seni boleh bercerita tentang apa yang gagal diungkapkan oleh lisan. “Semua aliran dalam seni lukis ketiga-tiga negara bergabung di bawah satu bumbung dalam Artriangle tetapi kita mempunyai tujuan yang sama.., untuk kemanusiaan dan seni lukis itu sendiri. “Melalui seni kita dapat berbicara tentang dunia yang tidak pernah dibatasi oleh politik, geografi, bahasa dan kebudayaan. Ini adalah bahasa visual untuk perpaduan dan kesatuan,” kata koordinator Matahati, Bayu Utomo Radjikin.
No comments:
Post a Comment