Saturday, September 12, 2009

SENI DALAM ISLAM

BAB 1 : SENI DALAM ISLAM
1.1- KONSEP SENI
Dari segi makna literal, seni ialah halus, indah atau permai. Dari segi istilah, seni ialah segala
yang halus dan indah lagi menyenangkan hati serta perasaan manusia. Dalam pengertian yang
lebih padu, ia membawa nilai halus, indah, baik dan suci : berguna dan bermanfaat serta
mempunyai fungsi dan nilai sosial.
Selain itu, keindahan adalah sesuatu yang wujud di luar diri manusia yang menikmati keindahan
itu. Ia dapat dirasa, ditanggapi dan dihayati. Allah adalah sumber daya dan sumber pemikiran
manusia manakala imaginasi dan keupayaan mencipta yang ada pada manusia adalah percikan
dari daya kreatif Allah. Oleh itu, seni boleh dibahagikan kepada 2 :
a) Seni ciptaan Allah
b) Seni ciptaan manusia
Dengan memperakukan bahawa seni juga termasuk apa yang dicipta oleh Allah , ia tidak
bermakna kita mencampuradukkan seni ciptaan manusia dengan seni ciptaan Allah.
1.2- SEJARAH DAN PERKEMBANGAN SENI
Kesenian Islam adalah kesinambungan daripada kesenian pada zaman silam yang telah
berkembang dan dicorakkan oleh konsep tauhid yang tinggi kepada Allah S.W.T. Kesenian Islam
memiliki khazanah sejarahnya yang tersendiri dan unik. Kesenian Islam dikatakan telah
berkembang sejak zaman Nabi Daud A.S dan puteranya Nabi Sulaiman A.S dan terus
berkembang di zaman Nabi Muhammad S.A.W dan di zaman selepas kewafatan Baginda
sehingga kini. Kesenian Islam terus berkembang di dalam bentuk dan falsafahnya yang
berorientasikan sumber Islam yang menitikberatkan kesejajaran dengan tuntutan tauhid dan
syara’.
BAB 2 : CIRI-CIRI KESENIAN ISLAM
Seni dijadikan sebagai alat menyebarkan agama dan memperkukuhkan amal kebajikan dan
kebaikan dikalangan ummah. Hasil seni boleh menjadi faktor pendorong yang intensif bagi
mengingati dan memuji Allah. Daya seni yang dikurniakan oleh Allah adalah bertujuan untuk
menimbulkan keikhlasan dan kesedaran dalam diri manusia. Dengan bakat seni yang ada, para
seniman muslim ternyata mampu menggunapakai pelbagai teknik, bentuk seni yang terbuka di
tempat yang berlainan ke dalam daerah seni dan budaya Islam.
Kesenian Islam menyahut seruan sebilangan keperluan asas masyarakatnya. Ia juga
mengukuhkan persiapan individu untuk mematuhi ajaran Allah selaras dengan tujuan asas
penciptaan mereka. Pernyataan seni ibarat kaedah di antara zat spiritual dan rangka material.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab para seniman untuk menterjemahkan idea Islam ke dalam
bahasa seni. Menurut perspektif Islam, daya kreatif seni adalah dorongan atau desakan yang
diberikan oleh Allah yang perlu digunakan sebagai bantuan untuk memeriahkan kebesaran Allah.
Selain itu, seni juga menunjukkan seni kesatuan atau kesepaduan. Ia bermatlamat meletakkan
mohor kesatuan Ilahi kepada kesetiaan perihal dan aktiviti manusia. Kesenian Islam malah
semua kesenian tradisional memang sentiasa berorientasikan kepada ‘kegunaan’ : samada untuk
spiritual seperti mihrat yang dihias dengan sinar larikan, seni dan ayat al-Quran mahupun
pindahan ke atas objek kegunaan harian.
Kesenian Islam tidak berkisar di sekitar manusia individu, ia mempunyai orientasi sosial dan
berpaksikan kepada keperluan bersama manusia.
2.1- SIKAP ISLAM TERHADAP SENI
Pada dasarnya, sesuatu yang indah itu disukai oleh Allah kerana Dia zat yang Maha Indah dan
menyukai yang indah. Islam mempunyai kriterianya yang tersendiri untuk dijadikan pengukur
pedoman bagi menentukan halal atau haramnya sesuatu karya seni itu. Kriteria pertama ialah
seni atau karya seni itu mestilah baik iaitu yang mempunyai cirri-cirinya yang khusus. Antaranya
ialah tidak merosakkan budi pekerti yang mulia serta tidak melalaikan orang dari beribadat dan
mengingati Allah. Kriteria penolakan pula ialah seni atau karya seni tersebut buruk iaitu boleh
merosakkan moral, melalaikan diri daripada beribadat kepada Allah dan sekaligus melupakanNya.
2.1- JENIS-JENIS SENI
a) Seni suara
b) Seni rupa
c) Seni pakaian
d) Seni sastera
BAB 3 : SENI SUARA
Menurut pandangan Islam, seni suara dibahagikan kepada 2 kriteria iaitu seni suara yang baik
dan seni suara yang buruk. Seni suara yang baik merangkumi bacaan al-Quran dengan suara
yang merdu, syahdu dan lunak, melagukan azan, menyanyikan lagu-lagu jihad, berzikir,
mendendangkan nyanyian hari-hari raya, menyanyikan selamat jalan dan selamat kembali
kepada para jemaah haji, berzanji dan lain-lain. Seni suara yang buruk pula merangkumi
nyanyian-nyanyian yang sering menimbulkan nafsu berahi, lagu-lagu joget dan tarian yang
bercampur antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, lagu-lagu yang boleh merosakkan
budi pekerti muda mudi serta melalaikan mereka dari beribadat kepada Allah.
3.1- BACAAN AL-QURAN
Al-Quran adalah kalam Allah dan kitab suci umat Islam. Ia bukan sahaja mempunyai nilai sastera
yang amat indah dan tinggi tetapi juga mempunyai seni bacaan yang unik. Oleh itu, membaca al-
Quran diberikan prioriti yang pertama dan utama dalam Islam. Kita dituntut oleh syariat Islam
supaya membaca al-Quran mengikut tajwidnya yang betul dan dengan suara yang baik bukan
dengan cara berlagu sebagaimana lagu-lagu qasidah. Ini kerana ia boleh merosak dan mungkin
akan menambah atau mengurangkan huruf-huruf al-Quran dan dianggap suatu bida’ah pula.
Menurut Ibn Hajar al-Haithami dalam kitabnya, Kaff al-Ri’a’ al Muharramat al-Sama’, kesengajaan
membaca al-Quran secara berlagu dengan menambahkan huruf atau menguranginya untuk
memperelokkan dan memperhiaskannya adalah fasiq.
Bahkan menurut fatwa Imam al-Nawawi mengenai golongan yang membaca al-Quran dengan
berlagu yang buruk serta banyak perubahannya, maka hukumnya adalah haram menurut ijmak
para ulama’. Pemerintah wajib mengancam dan meminta mereka bertaubat, malah setiap orang
yang mukallaf hendaklah mengingkarinya seupaya yang mungkin.
3.2- NYANYIAN DAN SENI MUZIK
Nyanyian dan muzik boleh mengubah sikap ke arah pencapaian peradaban yang bererti di
samping mempunyai kekuasaan tersendiri hingga boleh menukar emosi menjadi terharu, sedih,
pilu, menangis bahkan gila. Ini menunjukkan bahawa nyanyian dan muzik sangat rapat
hubungannya dengan jiwa manusia. Oleh itu, ia perlu dikawal dan diberi perhatian supaya tidak
merosakkan jiwa dan moral manusia.
Islam dari segi falsafahnya menyatakan nyanyian dan muzik haruslah bertujuan kea rah
pembentukan peribadi dan sebagai tali penghubung ke arah taqwa kepada Allah. Islam tidak
mengizinkan nyanyian dan muzik yang melalaikan manusia dari kewajiban terhadap Allah. Seni
yang merosakkan adalah seni sesat yang hukumnya haram dan patut dijauhi.
3.3- PANDANGAN ULAMA’ DAN FATWA BERHUBUNG SENI MUZIK
a) Pandangan Imam al-Ghazali
- tidak terdapat keterangan yang jelas dari sunnah Rasulullah yang
melarang penggunaan alat-alat muzik
- sebahagian instrumen muzik yang mempunyai bunyi yang baik tidak
dilarang
- seni muzik yang dilarang ialah seni muzik yang berada di dalam
keadaan yang bersekongkol dengan kumpulan pemabuk, perzinaan
dan perbuatan dosa yang lain
- mendengar lagu itu ada 5 hukum iaitu harus, sunat, wajib, makruh dan
haram
- Imam al-Ghazali mengklasifikasikan lagu-lagu kepada 7 jenis iaitu :
• Lagu-lagu yang membangkitkan kerinduan untuk menziarahi
tempat-tempat suci seperti Mekah dan Madinah
• Lagu yang mengobarkan semangat untuk berjuang
mempertahankan aqidah dan negara
• Lagu yang memperihalkan pertarungan dan sikap kelelakian
yang pantang mengalah di saat-saat genting
• Lagu yang mengenang peristiwa lampau yang menimbulkan
kesedihan yang positif. Mengingatkan diri terhadap hakikat hidup
yang sebenar.
• Lagu yang menyifatkan keadaan ketika rela dan sukacita untuk
menghargai suasana tersebut dan menikmati kenangannya
selama yang mungkin
• Lagu bercorak ghazal yang sopan : memperihalkan kisah cinta
dan membayangkan harapan untuk bertemu dan pertautan yang
lebih erat di masa yang akan dating
• Lagu yang memperihalkan keagungan sifat-sifat tuhan, memuji
serta mentahmidkan kebesarannya
b) Pandangan Imam Shafi’i
- Menyatakan bahawa nyanyian itu adalah makruh dan melalaikan di
dalam kitabnya, Adab al-Qada’
- Ia menyamai kebatilan dan sesiapa yang mendengarnya maka dia
adalah seorang safih dan penyaksiannya ditolak
- Mendengar nyanyian dari wanita yang bukan mahram tidaklah harus
dalam apa jua keadaan samada di tempat terdedah atau di tempat
tertutup, samada wanita yang merdeka atau hamba
- Jika tuan kepada hamba abdi wanita mengumpulkan orang ramai agar
mendengar nyanyian abdinya itu, maka dia juga seorang safih dan
penyaksiannya ditolak
- Memakruhkan penggunaan seruling kerana menurutnya itu adalah
perbuatan kaum Zindik untuk memesongkan orang dari mendengar al-
Quran
c) Pandangan Imam Malik
- Melarang mendengar nyanyian
- Menyatakan bahawa barangsiapa ingin membeli seorang abdi wanita
dan diketahuinya wanita tersebut seorang penyanyi, maka janganlah
dibeli wanita tersebut
d) Pandangan Ibn Taimiyyah
- Membezakan antara mendengar nyanyian dan muzik yang bermanfaat
pada agama dan antara apa yang diberi pengecualian untuk
mengelakkan dosa, dan antara pendengaran muqarrabin dan
pendengaran orang-orang biasa
- Diharuskan mereka mendengar apa yang disyariatkan kepada para
hamba Allah iaitu mendengar ayat-ayat Allah : dapat membaiki hati
dan menyucikan jiwa
e) Pandangan Dr.Yusuf al-Qaradawi
- Membuktikan mengenai hukum seni muzik yang pada asalnya bersifat
harus tetapi boleh berubah kepada hukum-hukum lain berdasarkan
beberapa syarat iaitu :
• Bukan semua lagu itu harus. Isi kandungannya hendaklah
bertepatan dengan kesopanan Islam serta ajarannya. Nyanyiannyanyian
yang menyanjung pemerintah yang zalim, taghut dan
fasiq adalah bertentangan dengan ajaran Islam kerana Islam
melaknat para pelaku kezaliman dan para pengampunya.
• Cara persembahannya juga mesti diambilkira. Kadangkala tajuk
lagunya tidak menjadi masalah tetapi cara penyampaian
penyanyinya itu yang boleh menyebabkan hukumnya haram,
syubhah atau makruh. Ini termasuklah cara nyanyian yang
memberangsangkan ghairah seks para pendengar melalui tematema
cinta berahi.
• Hendaklah nyanyian itu tidak diiringi dengan perkara yang haram
seperti meminum arak, mendedahkan aurat atau bercampur
diantara lelaki dan perempuan tanpa batas dan had.
• Seperti perkara-perkara harus yang lain, nyanyian hendaklah
tidak dilebih-lebihkan terutama nyanyian yang menyentuh
perasaan dan kerinduan yang berlebihan. Sekiranya unsur-unsur
yang berlebihan ini tidak dikawal, ianya akan mengabaikan hak
akal, rohani dan kehendak seseorang, masyarakat dan agama.
• Sekiranya terdapat unsure nyanyian yang menaikkan nafsu
syahwat, mendorong ke arah kejahatan, menjadi lalai dan leka
untuk mengerjakan ibadah maka menjadi kewajipan ke atas
pendengar untuk menjauhinya, menutup pintu fitnah tersebut
demi memelihara dirinya dan agama.
f) Fatwa Sheikh Mahmud Shaltut
- Mendengar dan bermain alat muzik adalah sama hukumnya dengan
merasa makanan yang lazat, menghidu bau yang harum, melihat
pemandangan yang cantik atau mencapai pengetahuan yang tidak
diketahui. Semuanya memberi kesan untuk menenangkan fikiran
apabila jasmani penat dan memberi kesan dalam memulihkan semula
tenaga.
- Al-Quran yang mendasari segala peraturan dan perundangan yang
begitu sempurna adalah bertujuan untuk menjaga supaya tidak berlaku
keterlaluan di pihak yang tidak menggunakan muzik dan pihak yang
menggunakan muzik secara berlebihan. Apatah lagi Islam menuntut
kepada kesederhanaan.
- Fuqaha’ terdahulu telah membenarkan penggunaan seni muzik
apabila mempunyai tujuan yang sesuai seperti muzik iringan ke medan
perang, haji, perkahwinan dan hari kebesaran Islam. Mengikut fuqaha’
Hanafi, muzik yang dilarang ialah sekiranya bercampur dengan majlis
yang terdapat arak, penyanyi perempuan yang mengghairahkan,
unsur-unsur fasiq, perzinaan dan berhala.
- Beliau memberi amaran kepada sesiapa yang berani melarang
sesuatu perkara yang tidak jelas dilarang oleh Allah.
3.1- TARI MENARI
Islam tidak dapat menerima apa yang dikenali kini sebagai budaya rock. Bahkan semua
perbuatan yang membawa kepada keghairahan syahwat seperti nyanyian-nyanyian lucah dan
drama-drama liar meskipun ianya dianggap sebagai seni dan dikatakan kemajuan. Ini kerana,
nilai dan kemajuan dalam Islam berbeza dengan Barat yang tidak mengambil kira agama sebagai
panduan atau kayu pengukurnya.
Islam mengharamkan sebarang interaksi bebas insan yang berlainan jantina tanpa perkahwinan
yang sah. Demikian juga sebarang perbuatan atau kegiatan yang membawa kepada yang
diharamkan seperti perbuatan zina di mana Islam tidak saja melarang dengan sebutan “jangan
berzina” tetapi semua yang membangkitkan syahwat dan keghairahan nafsu.
BAB 4 : SENI RUPA
Secara umumnya para ulama’ membahagikan seni rupa kepada 2 iaitu:
a) Seni rupa yang mempunyai imej ataupun bentuk dan hasilnya dinamakan patung
b) Seni rupa yang tidak mempunyai imej mahupun bentuk dan hasilnya dinamakan gambar
atau lukisan
4.1- SENI UKIR
• Seni ukir Islam mempunyai nilai yang tinggi baik dalam susunan komposisi cara
pengisian bidang yang dihias ataupun dalam cara mensejajarkan motif-motif
ukirannya
• Pembahagian bidang diatur berdasarkan geometri, motif-motif tabi’i seperti daun,
akar, bunga dan sebagainya
• Dalam seni ukir Islam wujud paduan yang harmoni antara rasa dan akal
• Ia juga dikenali sebagai seni pahat yang merangkumi apa-apa sahaja yang diukir
atau yang dipahat
4.2- PATUNG
• Islam mengharamkan patung di dalam rumah yang dijadikan perhiasan dan
sebagainya kerana malaikat rahmat akan menjauhi rumah tersebut
• Jika si pembuat patung tersebut mengetahui bahawa patung itu akan disembah
maka dia adalah seorang kafir
• Jika si pembuat patung itu tidak sengaja dan tidak mengetahui bahawa patung
itu akan disembah, maka dia berdosa sahaja dengan perbuatannya itu
• Terdapat hadith yang menyatakan bahawa si pembuat patung akan dipaksa
memberi nyawa kepada patungnya. Dia akan diseksa selama mana ia tidak
dapat memberikan nyawanya kepada patung tersebut.
4.3- PATUNG CACAT
• Segolongan ulama’ berpendapat bahawa Islam tidak mengharamkan patung
yang tidak sempurna atau yang cacat kerana ia tidak dapat disembah kerana
tidak lengkap anggotanya
• Bahkan membuat patung cacat, hukumnya mubah
• Tetapi, patung separuh badan yang dibina bagi mengagungkan pemimpinpemimpin
tertentu, pengharamannya lebih tegas daripada patung kecil yang
lengkap anggotanya yang hanya sekadar menjadi hiasan rumah
4.4- PATUNG PERMAINAN KANAK-KANAK
• Tidak terdapat larangan khusus mengenainya dalam Islam kerana ia sekadar
lukisan atau ukiran untuk hiburan kanak-kanak bukan bermaksud untuk
disembah
• Menurut Imam al-Syawkani, anak-anak kecil boleh bermain dengan boneka
(patung)
• Tetapi Imam Malik melarang lelaki membelikan boneka kepada anak
perempuannya
• Qadi ‘Iyad pula membolehkan anak-anak kecil perempuan bermain-main dengan
boneka kerana rukhsah
4.5- LUKISAN
• Jika lukisan seni berbentuk sesuatu yang disembah melainkan Allah seperti
gambar Nabi Isa A.S atau al-Masih bagi orang-orang Kristian atau lembu bagi
orang-orang Hindu dan sebagainya, maka pelukisnya tidak lepas daripada azab
Allah
• Orang yang melukis sesuatu yang tidak dapat disembah tetapi dengan niat untuk
menandingi ciptaan Allah, pelukis itu bukan saja terkena ancaman sebagai orang
yang “paling berat seksaannya pada hari kiamat” malah dia juga terkeluar dari
agama Islam
4.6- FILEM (WAYANG GAMBAR)
• Filem Islam ialah filem yang menemukan kefahaman-kefahaman Islam dengan
Allah, alam semesta, kehidupan dan manusia sebagai pertemuan yang
menyeluruh dan sebahagiannya yang hanya terhad kepada sifat-sifat
keIslamannya
• Mengenai panggung wayang, Prof. Dr. Yusu al-Qaradawa menjelaskan
- Kadarnya harus munasabah dengan masyarakat yang menggalakkan
keprihatinan bukan masyarakat yang lalai dan leka
- Panggung wayang janganlah menjadi tempat mengobarkan syahwat,
merosak komitmen terhadap nilai-nilai unggul, menghakis akhlak belia
atau meracuni akal mereka dengan idea-idea asing yang bertentangan
dengan aqidah dan pegangan ummah
- Waktu-waktu tayangan hendaklah tidak bercanggah dengan waktu
sembahyang
- Panggung wayang tidak boleh menjadi tempat atau sarang untuk
muda mudi memadu kasih secara haram serta berleluasa menginjak
batasan syarak
- Janganlah panggung menjadi institusi yang membolot harta rakyat
kerana dimonopoli oleh sesetengah pihak dan mereka menjual tikettiket
dengan harga yang mahal tanpa ada pengawasan daripada pihak
bertanggungjawab
4.7- SENI KHAT
• Khat merupakan seni yang mengandungi keindahan estetika
• Merupakan kesenian yang paling asas di dalam Islam kerana ia merupakan
wadah kepada pengaliran ilmu
• Kaligrafi atau seni khat berasal daripada perkataan latin iaitu ‘kalios’ yang bererti
indah manakala ‘graph’ bermaksud garisan atau tulisan
• Ahli dalam seni khat dipanggil Khattat
• Seni khat bermula serentak dengan turunnya wahyu Ilahi kepada Rasulullah
kerana pada zaman jahiliah, orang-orang Arab berpegang kepada tradisi lisan
untuk menyimpan maklumat dan komunikasi mereka
• Ahli-ahli kaligrafi sangat dimuliakan : mereka diberi hadiah dan kedudukan yang
istimewa oleh para raja dan orang-orang besar di seluruh dunia Islam
• Karya-karya mereka memaparkan kewibawaan luarbiasa para seniman silam
malah menjadi sumbangan yang hidup kepada tamadun Islam yang melahirkan
mereka
4.8- SENI BINA
• Seni bina Islam telah berkembang seiring dengan seni ukir dan seni khat Islam
• Seni bina Islam mempunyai ciri-cirinya tersendiri dan bersifat unik : mengandungi
seni khat, bentuk arabesque, corak geometrid an motif seni reka
• Wujud pengaruh yang kuat daripada ayat-ayat al-Quran, hadith dan syair-syair
bahasa Arab
• Selepas kewafatan Rasulullah, seni bina terus berkembang terutama di zaman
Khulafa’ al-Rasyidin khususnya melalui pembinaan masjid yang dihias dengan
tulisan khat
• Di zaman Bani ‘Umayyah, istana-istana khalifah turut diukir dengan seni ukir
yang unik. Buktinya, istana ‘Amarah yang terletak di timur Laut Mati dan di
Masjid al-Haram tersergam indah dengan seni bina Islam dan ukiran yang
bercirikan Islam
• Di zaman kerajaan Islam di Sepanyol (Andalusia), unsur-unsur seni bina Islam
amat terserlah pada bangunan dan istana seperti yang terdapat pada Istana
Alhambra dan Masjid Cordova
• Di zaman kerajaan Islam ‘Abbasiyyah, seni bina Islam mencapai zaman
keemasan kerana ciri-ciri seni bina Islam mampu bersepadu dengan seni bina
Parsi yang tidak mempunyai unsur-unsur seni yang bertentangan dengan Islam
• Kerajaan Dawlah ‘Uthmaniyyah yang berpusat di Turki turut mencatatkan
kehebatan di dalam perkembangan seni bina Islam. Buktinya, pembinaan Masjid
Mihrimah, Sehzade, Suleymaniye dan Selimiye.
• Seni bina ini terhasil dengan kepakaran para arkitek Islam seperti Sinanuddin
Yusuf b. Abdullah, Khayruddi dan Ahmad Pasha
BAB 5 : SENI PAKAIAN
Pakaian merupakan kebudayaan manusia yang dibenarkan bahkan dituntut oleh agama Islam
agar manusia kelihatan sopan dan cantik : berbeza dengan haiwan yang tidak berakal.
Dalam Islam, seni pakaian dari sudut estatikanya diserahkan kepada kebijaksanaan umat Islam
sendiri menggubahnya untuk disesuaikan dengan adat, tradisi dan keadaan setempat. Islam
amat menitikberatkan soal kebersihan kerana melihatnya sebagai asas bagi setiap perhiasan
yang baik dan pemandangan yang elok dalam pakaian.
Pakaian yang diperbuat daripada bulu kambing, sutera, kulit binatang yang halal, pakaian dari
benang guni dan sebagainya adalah dihalalkan. Begitu juga dengan seni memperagakan
pakaian. Ia dihalalkan selagi tidak melanggar batas-batas hukum Islam.
Pakaian berfungsi sebagai usaha menutup aurat dan untuk menghias diri. Oleh itu, sesuatu
pakaian yang tidak dapat menutupi aurat meskipun dapat dijadikan perhiasan diri seperti kain
yang jarang adalah dianggap tidak menurut hukum Islam.
Pakaian yang dapat memelihara diri dari panas dan kesejukan serta dapat mempertahankan diri
dalam peperangan juga dihalalkan dalam Islam. Selain itu, terdapat hadith yang menganjurkan
agar kita berpakaian menutup aurat pada setiap masa. Lebih-lebih lagi sewaktu solat dan
mengerjakan haji agar dapat dibezakan atau dibanteras amalan orang-orang Arab jahiliah masa
lampau. Ini kerana, semasa ingin beribadat mereka membuka seluruh pakaian mereka.
Apa sahaja perhiasan yang didapati dari perut laut seperti mutiara, batu-batu berharga dan lainlain
boleh dijadikan pakaian dan perhiasan manusia terutamanya kaum wanita. Dalam hal warna
pakaian pula, tidaklah terlalu dititikberatkan oleh Islam. Namun begitu, adalah lebih baik jika
berwarna putih.
Pakaian yang diperbuat dari sutera dan perhiasan emas dihalalkan bagi kaum wanita
memakainya tetapi diharamkan bagi kaum lelaki. Haram bagi kaum lelaki untuk memakai atau
mengguna apa saja yang diperbuat daripada emas seperti gelang, rantai, bekas rokok, gigi emas
dan sebagainya. Tetapi tidak diharamkan mereka memakai atau mengguna apa sahaja yang
diperbuat daripada perak, logam, besi dan sebagainya.
BAB 6 : SENI SASTERA
Sastera ertinya bahasa, seni sastera ialah seni bahasa. Susastera bermaksud ‘Bahasa Yang
Indah’. Kesusasteraan pula bermaksud sejumlah tulisan yang menggunakan bahasa yang indah
bagi melahirkan perasaan yang indah. Sastera adalah salah satu cabang seni manakala seni itu
adalah suatu yang indah yang dapat dihubungkaitkan dengan keindahan mutlak Allah itu sendiri.
Kesusasteraan ialah satu bentuk tulisan yang dicipta oleh manusia dengan bantuan bahasa
dengan tujuan menikmati penerokaannya ke dalam pengalaman-pengalaman semasa hidup.
Bentuk utama sastera ialah sifat pengisahan yang terdapat di dalam pernyataannya. Ahli karya
sastera peka bertindak balas ke atas fakta-fakta penghidupan dan mempersembahkan kepada
pembaca hasil kesedaran instuitif.
Pada umumnya, segala karangan atau karya tulisan yang menggunakan bahasa yang indah
dapat dibahagikan kepada 2:
a) Prosa Nathr – karangan bebas yang tidak terikat dengan sebarang peraturan
b) Puisi Syi’r- karangan atau gubahan perkataan yang terikat dengan peraturan tertentu
seperti sajak, pantun, tamthil, ibarat dan sebagainya
Terdapat pengecualian bagi penyair yang rongganya penuh dengan syair-syair memuji Allah atau
RasulNya, demikian juga syair-syair yang memuatkan zikrullah dan ajaran-ajaran agama, maka
ianya tidaklah dilarang dan tidak dicela sebegitu keras.
Para sasterawan tidak dilarang sama sekali malah digalakkan agar mereka menghasilkan karya
yang mengandungi nasihat agama, semangat perjuangan untuk menegakkan kebenaran,
keadilan dan menghapuskan kemiskinan dalam masyarakat. Karya-karya mereka pada zaman
dahulu penuh dengan ilmu pengetahuan, menganjurkan kerjasama, persahabatan dan
perpaduan ummah serta mengandungi puji-pujian terhadap Allah, selawat ke atas nabi, pujian ke
atas para sahabat pilihan, para malaikat, kitab-kitab suci dan lain-lain.
Syair dan usaha syair tidak dilarang jika ianya digarap untuk tujuan meningkatkan semangat jihad,
memperbaharui tekad, menghibur juga menghilangkan penat lelah berkerja, menyeru
melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar, menyebut syurga neraka, menyelar perbuatan zina,
minum arak atau mengambil dadah, menimbulkan keraguan terhadap berhala dan
penyembahannya.
Bahkan Rasulullah sendiri mengucapkan syair sewaktu menggali parit dalam peristiwa perang
Ahzab. Menggarap syair yang baik dan mendengarnya adalah digalakkan dalam Islam. Dalam
Islam, menggunakan keupayaan kreatif samada melalui prosa atau puisi amat digalakkan
terutama untuk menentang musuh dan membela Islam, bahkan ia dianggap suatu jihad.
Termasuk dalam kategori ini juga ialah syair-syair yang memuatkan pujian kepada Nabi
Muhammad S.A.W seperti berzanji, contohnya seperti gubahan al-Bushayri yang diberi nama al-
Burdah :
Dia kekasih Pembawa syafa’at diharapkan
Dapat menghapuskan segala bahaya mendatang
Dia menyeru ke jalan Allah, barangsiapa yang mengikutnya
Bererti ia berpegang kepada tali yang teguh
Baginda mengatasi para anbiya’
Dalam kejadian dan akhlaknya
Ilmu dan kemurahan Baginda tiada bandingannya
Semangkuk laut setitik hujan
Para Rasul memerlukannya
Jika syair-syair yang memuji para Nabi dan Rasul digalakkan dalam Islam, apatah lagi syair-syair
yang memuji Allah S.W.T seperti yang digarap oleh penyair-penyair agung dunia di kalangan
pujangga-pujangga sufi dan sebagainya. Contohnya, munajat Ibn al-Farid, seorang penyair sufi
Mesir yang masyhur :
Kala malam
Ku lihat api di desa
Ku gembirakan keluargaku
Tunggulah? Agarku dapat hidayat
Semoga….
Ku hampiri api
Itulah api al-Mukallam
Sebelumku.
Hingga pabila waktuhampir sedikit-sedikit menghimpun sekujur tubuhku
Runtuhlah gunungku
Dari kebesaran al-Mutajalli
Muncul rahsia sembunyi
Bisa diketahui
Siapa seperti diri ini
Akulah faqir kesibukan
Simpatilah keadaan
Kelemahan ini!
BAB 7 : RUMUSAN
Kesenian Islam bertunjangkan tauhid, iaitu keEsaan Tuhan yang bertolak dari pengajaran al-
Quran dan as-Sunnah. Bacaan al-Quran yang liturgis telah menciptakan suatu cabang muzik
baru. Pemeliharaan naskahnya telah melahirkan tulisan atau khat Arab yang indah.
Pembinaan masjid-masjid sebagai tempat ibadah kaum Muslimin pula telah
mengembangkan seni bina dan seni hias. Di dalam menjaga keseimbangan antara keperluan
jasad dan jiwa, Islam telah menganjurkan sikap sederhana dalam semua perkara dan
membawa kepada bakat-bakat alami di dalam jurusan-jurusan yang benar dan telah
mencuba untuk mengembangkan suatu keseluruhan yang harmonis dalam diri manusia.
Dalam sabda-sabda Nabi, terdapat teks-teks yang menegaskan keprihatinan Islam terhadap
pelbagai aspek seni. Misalnya, sabda Baginda “Allah itu indah dan sukakan keindahan” dan
“ Keindahan itu disuruh di dalam segala sesuatu, biarpun engkau membunuh seseorang,
maka bunuhlah dia dengan suatu cara yang baik”.
Di dalam kehidupan Nabi, kita dapati peristiwa berikut yang bersifat instruktif, di mana
Baginda pada suatu hari telah melihat sebahagian dari pusara yang tidak diratakan
sepenuhnya. Baginda telah memerintahkan kekurangan itu ditimbun sampai rata, sambil
menambah bahawa ia tidak akan menjejaskan orang yang mati tetapi ia lebih menyenangkan
mata orang yang hidup.
Sementara itu, mimbar di dalam masjid yang digunakan oleh Rasulullah telah dihiasi dengan
2 bola seperti buah delima dan 2 orang cucu Baginda amat suka bermain-main dengannya.
Ini dapat dikatakan sebagai permulaan seni ukir dalam Islam. Kemudian naskah-naskah al-
Quran telah dihiasi dengan pelbagai corak warna. Apabila al-Quran diberi perhatian supaya
lebih cantik dan dapat disimpan lebih lama maka lahirlah pula seni hias dan seni menjilid
buku.
Kaligrafi atau tulisan khat sebagai suatu kesenian adalah suatu keistimewaan orang Islam. Ia
merupakan kesenian yang mendapat kehormatan yang tertinggi, khasnya tulisan Arab untuk
menulis segala firman Allah dan sabda Rasulnya. Dengan kepelbagaian jenisnya, khat Arab
telah dipergunakan dengan begitu meluas di dalam dunia Islam.
Berhubung dengan muzik dan nyanyian di bawah naungan Raja-raja atau Khalifah-khalifah
Islam pula, maka ia telah sampai ke kemuncak perkembangannya yang gemilang. Sarjanasarjana
Islam yang terkenal seperti al-Farabi, Ibn Sina dan lain-lain telah meninggalakan
bukan sahaja karya-karya monumental tetapi juga telah membuat penambahan dan
peningkatan yang berharga terhadap muzik-muzik Greek dan India. Mereka telah mencipta
kod-kod muzik di samping dapat menentukan jenis-jenis alat muzik yang berbeza.
Ringkasnya, dalam lapangan kesenian orang Muslimin telah memberi sumbangan yang
berharga sekali. Mereka mengikis sifat-sifatnya yang merugikan, mengembangkan aspekaspek
estetiknya dan menemukan sesuatu yang baru yang berfaedah untuk dunia.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment